KUMPULAN D
SOALAN :
Cikgu
Ezham merupakan seorang guru baru yang baru tiga bulan berkhidmat sebgai guru
di sekolah rendah. Melalui pengamatannya sepanjang tiga bulan itu, dia
mendapati murid-muridnya seakan-akan tidak senang dengan kehadirannya dan
hubungan antara beliau dan murid-muridnya tidak mampu mewujudkan suasana
positif untuk proses pengajaran dan pembelajaran. Pada pandangan anda, apakah
kemungkinan faktor-faktor yang menyebabkan berlakunya situasi sedemikian?
JAWAPAN:
Berdasarka
situasi di atas, terdapat pelbagai faktor yang menyebabkan terjadinya situasi
sebegini. Pertamanya ialah perasaan
empati guru yang kurang di mana guru tidak dapat sama-sama menyelami
perasaan murid . Empati murujuk kepada keupayaan guru untuk memahami
perasaan murid-muridnya seolah-olah guru berada dalam keadaan itu. Keupayaan
untuk berempati bergantung kepada keupayaan guru mengenalpasti dan merasakan
perasaannya sendiri. Tidak semua murid datang ke sekolah dengan keadaan
gembira. Tekanan, gangguan serta peristiwa tertentu boleh mempengaruhi perasaan
murid yang akan dibawa bersama ke sekolah lalu menjejaskan proses
pembelajaran. Empati juga melibatkan pendengaran yang baik atau lebih
dikenali sebagai pendengaran reflektif. Ia merupakan satu bentuk kemahiran komunikasi
yang melibatkan pendengaran penggunaan perkataan-perkatan melibatkan perasaan
yang menyokong bahasa badan. Dengan mengumpulkan lebih banyak maklumat tentang
perasaan murid, guru akan lebih mengenali dan memahami mereka. Murid pula pada
masa yang sama merasakan diri mereka difahami dan dihargai. Hal ini dapat
meningkatkan harga diri murid ketika berada dalam kecelaruan perasaan.
Keduanya ialah faktor ketulenan dan kongruen iaitu guru bersifat sebenar,
jujur dan tidak bermaksud jahat dalam perhubungan interpersonal. Guru perlu
menjadi dirinya yang sebenar dan tidak berpura-pura atau cuba menjadi seperti
orang lain yang lebih berkuasa. Seperti murid, guru juga mempunyai
kelemahan-kelemahan diri. Akuilah kelemahan-kelemahan diri walau pun
kelemahan-kelemahan tersebut tidak dikongsikan dengan murid. Keadaan ini akan
merapatkan jurang perbezaan antara guru dan murid. Murid pula akan merasakan
dirinya selamat, diterima, diberikan perhatian dan dipercayai.
Ketiga, faktor
kehadiran guru itu sendiri. Guru perlu menghadirkan diri setiap kali ia perlu
berada di dalam bilik darjah atau ketika menjalankan aktiviti pembelajaran luar
bilik darjah bersama murid. Guru juga perlu hadir semasa menjalankan kegiatan
kokurikulum atau semasa aktiviti lain yang diperlukan bersama seperti jamuan
kelas, kelas tutorial atau kelas-kelas tambahan yang diadakan. Ketiadaan guru
menggambarkan bahawa guru tidak prihatin serta tidak mengambil berat tentang
perkembangan dan pertumbuhan murid-muridnya. Sekiranya guru tidak dapat
menghadirkan diri, sebab dan puncanya perlu diperjelaskan kepada murid. Elakkan
daripada membuatkan murid tertanya-tanya sedangkan mereka telah pun hadir.
Kehadiran guru atau ketidak hadiran dengan sebab yang boleh diterima sebenarnya
akan memperkukuhkan kepercayaan murid bahawa guru sememangnya menyayangi dan
mengambil berat tentang mereka.
Keempat ialah penerimaan
tanpa syarat. Penerimaan tanpa syarat
merujuk kepada sikap menerima dengan mesra serta menghormati guru dan murid
sebagai individu dan ahli kelompok dalam bilik darjah secara ikhlas. Guru dan
murid adalah manusia yang mungkin sebelumnya pernah tersilap dan berbuat salah.
Namun begitu, secara fitrah, manusia sentiasa mempunyai ruang untuk memperbaiki
diri dan menjadi lebih baik dan positif daripada sebelumnya. Apabila guru dan
murid sama-sama menjadi ahli komuniti bilik darjah, berbaik sangka tanpa
membuat pertimbangan untuk menghukum berdasarkan peristiwa atau pengalaman
lalu, mereka akan dapat mewujudkan hubungan interpersonal yang baik. Guru yang
dapat menghormati murid-muridnya akan membuatkan murid-murid menghormati guru
seterusnya akan mula menghargai ruang, harta dan masa ahli komuniti bilik
darjah, sekolah dan masyarakat sekolah amnya.
Faktor kelima ialah kesegeraan guru iaitu tingkahlaku lisan dan bukan lisan
yang mendedahkan kesediaan guru untuk mendekati serta didekati oleh murid.
Penggunaan tingkahlaku kesegeraan guru dapat meningkatkan kedekatan hubungan (closeness)
dan menghasilkan sikap positif dengan mengurangkan faktor jarak fizikal dan
psikologikal antara dua pihak yang berkomunikasi. Guru yang menunjukkan
tingkahlaku kesegeraan dapat mengurangkan jarak psikologikal dengan menghargai
dan mengakui pandangan serta idea murid, menggunakan maklumbalas serta input
daripada murid ke dalam pengajarannya, kesediaan untuk berkomunikasi dan
kesediaan untuk melibatkan diri dalam bentuk interaksi bersemuka. Guru yang
menggunakan kesegeraan lisan dan bukan lisan lebih bercirikan kemanusiaan (more human) dan boleh didekati oleh
murid.
Faktor keenam ialah komunikasi guru-murid di mana ia amat penting untuk guru mengamalkan komunikasi
yang jelas dan ringkas semasa berhubung dengan murid ketika menyampaikan
pelajaran, peraturan dan ekspektasi. Apabila guru berkomunikasi secara jelas,
murid akan memperolehi panduan ke arah kejayaan. Komunikasi juga melibatkan
proses mendengar dengan baik antara guru dan murid.
Justeru,
banyak faktor yang menyebabkan Cikgu Ezham kurang disenangi oleh murid-muridnya
meskipun telah tiga bulan bersama. Faktor-faktor ini mungkin tidak disedari
Cikgu Ezham memandangkan beliau mungkin tidak mengetahui dan mengenali situasi
setiap muridnya yang menyebabkan hubungan guru-murid terjejas.
No comments:
Post a Comment