Friday 28 February 2014

TAJUK 6 : PENGURUSAN MASALAH DISIPLIN BILIK DARJAH (INTERVENSI DALAM MENANGANI MASALAH DISIPLIN)



KUMPULAN A

SOALAN :
 Cikgu zakiah menghadapi masalah dalam pengurusan bilik darjah. Memandangkan kelas tersebut mempunyai masalah displin yang teruk, akibatnya beliau sering naik marah dengan pelajarnya. Berdasarkan apa yang anda pelajar tentang intervensi dalam menangani masalah displin, cadangkan bagaimana anda boleh membantu cikgu zakiah.

JAWAPAN:

Cikgu zakiah boleh menggunakan pelbagai intervensi dalam menangani masalah displin pelajar. Antara intervensi yang boleh digunakan ialah pastoral care, bimbingan dan kaunseling, etika kaunseling,kemahiran asas kaunseling, program pembimbing rakan sebaya dan teknik modifikasi tingkah laku.

Pastoral care merupakan satu bentuk bimbingan yang diberikan oleh guru untuk menjaga kebajikan murid-muridnya. Bentuk bimbingan ini meliputi bidang dan isu yang luas seperti kesihatan, sosial, pendidikan agama dan moral, pengurusan tingkah laku dan sokongan emosi murid. Murid diberikan pendidikan yang menyeluruh serta berfokus kepada pembangunan diri dan disiplin kendiri.Fokus kepada pendekatan berpusatkan murid secara individu, memotivasikan murid untuk mempunyai inisiatif dan inovasi untuk medapatkan hasil yang maksimum di dalam aktiviti pembelajaran. Penerapan nilai murni merentasi kurikulum. Dengan ini cikgu zakiah dapat memahami masalah pelajar serta dapat bimbing mereka ke arah positif.

Bimbingan merupakan suatu proses yang dirancang oleh guru-guru untuk membantu murid-muridnya mengetahui dan menyedari tentang kebolehan dan kelemahan diri serta membantu murid membuat penyesuaian dengan persekitaran. Kaunseling merupakan satu proses di mana guru kaunselor membantu murid memahami dirinya yang sebenar. Bimbingan dan kaunseling bukanlah satu khidmat atau proses yang berbentuk arahan atau penyelesaian masalah.Pembimbing atau kaunselor tidak membuat keputusan atau menyelesaikan masalah klien. Pembimbing atau kaunselor hanya membantu klien mengenal pasti kekurangan dan kekuatan diri untuk membuat keputusan sendiri. Dalam proses bimbingan, murid akan dibimbing untuk berubah kepada sikap yang lebih baik dan melengkapkan diri dengan kemahiran-kemahiran menyelesaikan maslah dan membuat keputusan. Cikgu zakiah perlu mengenal potensi murid, membina kemahiran pengurusan diri, kemahiran penyelesaian masalah, pengurusan tingkah laku , memajukan diri murid, penilaian kendiri , prinsip bimbingan dan kaunseling untuk semua murid.

Etika bimbingan ialah menghormati murid dan tiada unsur diskriminasi. Guru melayan murid secara adil tanpa mengira perbezaan jantina, budaya bangsa dan agama. Sebelum sesi bimbingan, guru perlu menilai diri sendiri. Guru perlu menghindari tanggapan yang stereotaip terhadap murid berdasarkan jantina, bangsa atau latar belakang murid. Tanggapan negatif mempengaruhi hubungan murid dengan pembimbing. (berlaku ketidakadilan terhadap murid). Guru perlu melihat murid sebagai individu yang mempunyai kelebihan dan kelemahan yang tersendiri. Kerahsiaan murid memastikan semua maklumat yang didapati semasa sesi bimbingan disimpan dan tidak disebarkan. Kerahsiaan adalah teras utama membina kepercayaan antara murid dengan pembimbing. Guru pembimbing perlu berhati-hati ketika berkomunikasi dengan guru lain. Semua maklumat murid adalah rahsia dan hanya boleh dikongsi dengan pihak tertentu dan tujuan tertentu. Pembimbing perlu sedar tentang batasan-batasan kepakaran mereka. Semasa proses membimbing, guru yang tidak mempunyai cukup keperluan dan kemahiran perlu merujuk guru lain yang lebih pakar dan berpengalaman. Pembimbing haruslah menambah ilmu sebagai pembimbing. (sertai kursus perkhidmatan berkaitan pengurusan tingkah laku dan kemahiran membimbing)

Kemahiran membimbing bermaksud kemahiran guru mendampingi dan membina hubungan dengan murid secara fizikal dan psikologi. Kemahiran bimbingan akan mempengaruhi keberkesanan sesi bimbingan. Asas kemahiran membimbing ada 4 iaitu kemahiran memberikan perhatian, kemahiran mendengar secara aktif, kemahiran berempati dan kemahiran menanyakan soalan. Kemahiran memberikan perhatian ialah memberi perhatian sepenuhnya kepada murid. Perhatian yang diberikan membuatkan murid rasa selamat, diterima dan dihormati.

Komponen dalam kemahiran memberikan perhatian ialah kedudukan semasa membimbing sebaik-baiknya berhadapan dengan murid. Jangan duduk terlalu jauh atau terlalu rapat.Kedudukan atau postur badan guru harus berada dalam keadaan relaks. Berpeluk tubuh, bersandar dan menyilang kaki menunjukkan guru kurang mengambil berat. Ekspresi muka menunjukkan sejauh mana guru berminat terhadap perkara yang disampaikan.Gunakan ekspresi muka yang sesuai sebagai maksud
anda memahami dan menghayati perkara yang disampaikan. Pastikan tentangan mata dengan murid sepanjang proses bimbingan. Renungan mata perlulah lembut dan bukan tajam. Renungan yang dalam dan berlebihan akan membuatkan murid tidak selesa. Sikap tenang menyebabkan murid akan berasa selesa.

Kemahiran mendengar dengan aktif ialah mendengar bagi mendapatkan maklumat dan memahami perkara yang cuba disampaikan oleh murid. Mesej yang disampaikan sama ada verbal/nonverbal. Mendengar dengan aktif memerlukan penghayatan dan perhatian. Kemahiran ini sukar dikendalikan oleh guru yang kurang pengalaman. Elemen utama semasa mendengar secara aktif ialah memerhati dan memahami kelakuan non verbal murid. Postur badan, pergerakan, ekspresi muka, intonasi suara, gerak balas fisiologi. (perlakuan nonverbal). Guru boleh memerhatikan perwatakan fizikal murid. (contoh: tinggi, berat, kekemasan) .Tingkah laku nonverbal akan meneguhkan maklumat verbal murid. Kadangkala perlakuan nonverbal bertentangan dengan penyampaian verbal.

Guru pembimbing perlu mendengar penerangan murid tentang perasaan, perlakuan dan pengalaman mereka.Tugas pembimbing adlah untuk membantu murid memahami dan mengenal pasti masalah yang dialami dengan jelas. Mendengar dan memahami murid di dalam konteks sebenar. Masalah murid berkait rapat dengan konteks atau persekitaran di manakah murid itu berada. Guru pembimbing perlu memahami siapakah murid anda dan bagaimanakah latar belakang sosial mereka. Jangan membuat andaian melulu dan membuat kesimpulan secara umum. Mendengar dan membaiki salah tanggapan murid. Setiap murid mempunyai tanggapan dan persepsi terhadap diri mereka, orang lain dan persekitaran mereka. Kadangkala persepsi murid terhadap diri dan persekitaran kurang tepat dan berbeza dengan situasi sebenar.

Melalui kemahiran berempati ini, guru dapat mengenali permasalahan utama murid. Peringkat-peringkat empati terbahagi kepada beberapa iaitu Peringkat 1: Guru mendengar dengan sensitif perkara yang hendak disampaikan oleh murid. Peringkat 2: Memahami situasi yang dialami oleh murid. Peringkat 3: Membantu murid menghubungkait perasaan sebenar dengan situasi yang dihadapi.

Kemahiran menanyakan soalan ialah kemukakan soalan yang dapat menggalakkan murid bercerita. Terdiri daripada soalan terbuka (memerlukan penjelasan lanjut.
contoh soalan: apa, bagaimana) dan soalan tertutup (memberikan jawapan yang khusus. Contoh jawapan: ya atau tidak)

Teknik modifikasi tingkah laku menggunakan prinsip peneguhan tingkah laku dipengaruhi oleh akibat selepas tingkah laku ditunjukkan tingkah laku boleh dibentuk, dikekalkan, diteguhkan atau dilemahkan berdasarkan akibat yang diberikan bertindak berdasarkan kepada tingkah laku yang diberi ganjaran akan diulang manakala yang tidak diberi ganjaran dilupus. Peneguhan positif (ganjaran) adalah lebih berkesan daripada dendaan. Dalam memberi peneguhan beberapa faktor perlu diambil kira seperti umur, latar belakang, tingkah laku yang ingin dibentuk, kedukaran aktiviti dan tahap kemahiran murid akan mempengaruhi keberkesanan peneguhan. Peringkat-peringkat peneguhan ialah bahan makanan, barangan, token, aktiviti, keistimewaan, pengiktirafan rakan, perakuan guru dan kepuasan kendiri.

Sistem modifikasi tingkah laku yang berstruktur ialah sistem kontrak tingkah laku. Suatu kontrak berstruktur yang dibentuk oleh guru dengan seorang murid atau sekumpulan murid. Sistem token ialah sistem token berfungsi apabila token yang didapati ditukar dengan barangan atau aktiviti yang menyeronokkan.

Wednesday 19 February 2014

TAJUK 7 : DISLEKSIA


BY  :  KUMPULAN B


 SOALAN:

Cikgu Aini mendapati beberapa orang murid dalam kelasnya yang menghadapi masalah pembelajaran yang menunjukkan ciri-ciri seperti kesilapan menterbalikkan perkataan atau huruf. Bagaimanakah cara Cikgu Aini mengatasi masalah tersebut?

JAWAPAN :

Disleksia adalah satu masalah pembelajaran iaitu kesukaran mengenal huruf, membaca, menulis, mendengar dan bercakap disebalik pengajaran yang cukup dan peluang budaya yang sempurna. Sebenarnya masalah ini bukanlah satu penyakit dan ia tidak memerlukan ubat untuk mengubatinya, sebaliknya dengan program pendidikan yang sesuai masalah ini dapat dikurangkan. Disleksia juga bukan disebabkan kecerdasan yang lemah serta penglihatan tetapi seseorang disleksia tidak mengecam sesuatu dalam keadaan terbalik. Ternyata sekali disleksia menghuraikan sesuatu kelainan dalam otak.
Seperti yang kita tahu, kanak-kanak Disleksia ini boleh dirawat. Mereka memerlukan keperluan khas berbanding dengan kanak-kanak normal yang lain. Satu cara yang paling asas dalam membantu kanak-kanak disleksia ialah perlu adanya komunikasi dan pemahaman yang sama mengenai Disleksia antara ibu bapa, guru dan masyarakat. Hal ini kerana jika dilihat dalam zaman permodenan pada hari ini, ada diantara ibu bapa yang berpelajaran tinggi tidak dapat menerima kenyataan bahawa anak mereka menghidap Disleksia. Begitu juga dengan mentaliti masyarakat umum yang mahukan anak-anak mereka menjadi seorang yang bijak pandai agar dapat menjadi manusia yang berjaya apabila dewasa kelak. Ibubapa juga seolah-olah putus asa dan tidak dapat menerima kenyataan. Oleh itu, Cikgu Aini harus meningkatkan pemahaman tentang apa itu Disleksia dalam kalangan ibubapa dan masyarakat. 

Cikgu Aini harus memastikan yang kanak-kanak disleksia diletakkan ditempat duduk paling hadapan apabila seisi pengajaran dan pembelajaran dilakukan.  Ia adalah kerana  apabila kanak-kanak ini diletakkan ditempat duduk paling hadapan, mereka akan lebih fokus terhadap proses pembelajaran.

Cikgu Aini haruslah sentiasa mengawasi dan mendekati kanak-kanak disleksia ini ketika diberikan tugas. Contohnya, Cikgu Aini meminta dibuka halaman 15. Pastikan kanak-kanak disleksia ini tidak tertukar dengan membuka halaman lain, misalnya halaman 51.

Cikgu Aini juga haruslah dapat bertoleransi dengan kanak-kanak disleksia ketika menyalin soalan di papan tulis. Mereka perlu diberikan masa yang lebih banyak untuk menyiapkan latihan. Selain itu, Cikgu Aini dapat memberikan soalan dalam bentuk tertulis di dalam kertas.

Kanak-kanak disleksia yang sudah menunjukkkan usaha keras untuk berlatih dan belajar haruslah diberikan penghargaan yang sesuai seperti hadiah dan memuji hasil kerja mereka oleh Cikgu Aini. Tidak lupa juga proses pembelajarannya perlu diselang-selikan dengan waktu istirahat yang cukup.

Cikgu Aini perlu melatih dan memerhatikan kanak-kanak disleksia ini menulis tulisan titik-titik sambung sambil memperhatikan cara kanak-kanak ini duduk dan memegang pensilnya. Tulisan titik-titik sambung memudahkan mereka membezakan antara huruf yang hampir sama contohnya ‘b’ dengan ‘d’. Murid harus diperlihatkan terlebih dahulu cara menulis huruf titik-titik sambung karena kemahiran tersebut tidak dapat diperoleh begitu saja. Pembentukan huruf yang betul sangatlah penting dan kanak-kanak ini harus dilatih menulis huruf-huruf yang hampir sama berulang kali. Contohnya huruf-huruf dengan bentuk bulat: “g, c, o, d, a, s, q”, bentuk zig zag: “k, v, x, z”, bentuk linear: “j, t, l, u, y”, dan bentuk hampir serupa: “r, n, m, h”.

Cikgu Aini perlu melakukan pendekatan yang berbeza ketika belajar matematik dengan kanak-kanak disleksia, kebanyakan mereka lebih senang menggunakan sistem belajar yang praktikal. Selain itu kita juga perlu menyedari bahawa kanak-kanak disleksia mempunyai cara yang berbeza dalam menyelesaikan sesuatu soalan matematik. Oleh itu,kita tidak boleh memaksa kanak-kanak disleksia ini membuat cara penyelesaian yang klasik jika cara tersebut sukar diterima oleh mereka.

Dari aspek emosi pula kanak-kanak disleksia ini menjadi sangat sensitif, terutama sekali jika mereka merasakan bahawa mereka berbeza berbanding teman-temannya dan mendapat perhatian yang berbeza dari gurunya. Lebih buruk lagi jika prestasi akademik mereka menjadi semakin buruk akibat taraf perbezaan yang diberikan oleh guru. Keadaan ini akan menyebabkan kanak-kanak disleksia ini menjadi individu yang mempunyai konsep kendiri yang rendah. Jika hal ini tidak segera diatasi maka akan terus bertambah parah dan menyulitkan lagi proses terapi selanjutnya. Jadi Cikgu Aini sebagai orang terdekat harus membangkitkan semangatnya, memberikan motivasi dan menyokong setiap langkah usaha yang ditunjukkan oleh kanak-kanak disleksia

TAJUK 4 : TERAPI REALITI



BY  :  KUMPULAN E


SOALAN:
 
“ Siti seorang murid cemerlang dan sentiasa menunjukkan prestasi yang membanggakan. Namun, pada peperiksaan percubaan SPM yang lepas, keputusan peperiksaan Siti menurun secara mendadak dan menyebabkannya kecewa serta tidak dapat menerima kegagalan tersebut. Apakah peranan guru kelas itu untuk membantu Siti yakin dengan diri semula?” 

JAWAPAN :

Peranan sebagai seorang guru kelas perlu mengambil berat dan sentiasa mengikuti perkembangan pelajar di dalam kelas jagaan mereka. Dalam kes yang dihadapi Siti,guru kelas Siti perlu bijak mengatur strategi dalam membantu menyelasaikan masalah yang dihadapi oleh Siti bagi membuang rasa kekok dan segan dalam diri Siti untuk menceritakan masalah yang dihadapinya. Antara teknik yang boleh digunakan oleh guru kelas Siti ialah teknik Terapi Realiti iatu salah satu teknik kauseling untuk membantu individu meneroka kemahuan diri, membuat refleksi tentang apa yang sedang dilakukan dan membuat perancangan tentang kehendak sebenar mereka pada masa depan.
Antara langkah yang perlu diambil oleh guru kelas Siti ialah belia perlu mengenal pasti punca dan kesan yang akan berlaku atas tindakan yang diambil Siti sebagai contohnya ialah jika Siti mengambil sikap berdiam diri dan menjadi pasif selepas keputusan peperiksaan percubaan SPM merosot ia tidak akan dapat membantu apa-apa bahkan menambahkan lagi masalah kepada dirinya.
Seterusnya, selaku guru kelas merangkap pebimbing Siti guru tersebut perlu mecari punca berlakunya kemerosotan keputusan peperiksaan Siti itu adakah berpunca daripada dirinya sendiri yang lalai dan malas belajar atau dipengaruhi oleh faktor persekitaran seperti masalah keluarga atau masalah kesihatan yang dihadapi Siti semasa peperiksaan contohnya demam.
Selain itu, guru kelas Siti juga perlu menyediakan pelan perancangan atau dengan kata lain cadangan-cadangan bagi membuka jalan dan membantu Siti menyelesaikan masalah yang dihadapi oleh Siti serta membantu SIti menguruskan tingkah lakunya. Guru kelas SIti boleh mencadangkan beberapa penyelesaian kepada Siti untuk mengatasi masalahnya agar Siti tidak mengalami tekanan perasaan yang berterusan ekoran kemerosotan keputusan peperiksaannya.
Akhir sekali, setelah memberi cadangan dan jalan untuk menyelesaikan masalah yang dihadapi Siti guru kelas Siti perlu bertindak sebagai pebimbing Siti dengan mendengar luahan hati Siti dalam menceritakan masalah yang dihadapinya serta membantu Siti membuat pilihan untuk bertindak dalam menyelesaikan masalahnya terusnya bangkit kembali daripada kegagalan dirinya dalam mencapai target untuk terus cemerlang dalam peperiksaan.

TAJUK 4 : DISIPLIN ASERTIF CANTER

BY  :  KUMPULAN B


 SOALAN:

Cikgu uthaya mendapati bahawa murid-murid kelasnya sentiasa mengganggu proses pengajaran dan pembelajarannya. Mereka menjerit dalam kelas dan bercakap semasa guru mengajar. Selain itu mereka juga tidak menghantar kerja rumah. Berdasarkan prinsip-prinsip disiplin asertif, bagaimanakah Gikgu Uthaya mengaplikasikan prinsip-prinsip tersebut untuk mengubah tingkah laku pelajar-pelajar tersebut.

JAWAPAN:
Model Disiplin Asertif telah dipelopori oleh Lee and Marlene Canter pada tahun 1976. Model ini melatih murid-murid untuk menerima konsekuen bagi tindakan mereka. Model ini mempunyai beberapa prinsip tersendiri.
Antara langkah yang perlu diambil oleh Cikgu Uthaya dalam mengaplikasikan prinsip-prinsip Asertif bagi mengubah tingkah laku para pelajarnya adalah dengan menunjukkan sifat asertif  atau tegas ketika mengawal kelas. Hal ini kerana Ketegasan yang ditunjukkan oleh seorang guru mampu mewujudkan rasa hormat dan takut dalam diri para pelajar terhadap seseorang guru seterusnya menjadikan mereka dapat mengikuti dan mematuhi arahan yang diberikan dengan mudah tanpa memberi seribu satu alasan. Apabila seorang guru mampu menunjukkan ketegasan semasa mengawal kelas, maka para pelajar akan berasa takut untuk melakukan sebarang kesalahan disiplin atau bermain-main semasa belajar.
Sebagai seorang guru, cikgu Uthaya juga perlu  memberi pengukuhan kepada kepara pelajar bagi tindakan yang wajar. Beliau perlu menegur sikap kurang sopan atau kesalahan tingkah laku yang ditunjukkan oleh para pelajar serta menasihati mereka dan memberikan penjelasan tentang sikap yang sepatutnya ditunjukkan oleh mereka. Selain itu murid-murid perlu diceritakan tentang keburukan kesalahan tingkah laku yang telah ditunjukkan.
Seterusnya,cikgu Uthaya perlu menentukan peraturan dalam bilik darjah tersebut. Sebagai seorang guru, Cikgu Uthaya berkuasa menentukan peraturan dalam bilik darjah selagi ianya tidak bertentangan dengan peraturan sekolah. Langkah ini adalah bertujuan bagi memastikan para pelajar sentiasa berdisiplin semasa berada di kawasan sekolah lebih –lebih lagi semasa berada di dalam proses pengajaran dan pembelajaran di bilik darjah. Selain itu, langkah ini juga mampu mengelakkan salah laku pelajar dalam bilik darjah. Kesalahan ringan yang sering dipandang remeh oleh setiap murid mampu diatasi dengan adanya peraturan dalam bilik darjah. Apabila para pelajar menjadi berdisiplin, maka proses pengajaran dan pembelajaran dalam bilik darjah akan berjalan dengan lancer dan berkesan apabila tiada lagi gangguan yang dilakukan oleh para pelajar. Dengan ini, guru dapat menyampaikan pengajaran dengan baik dan para pelajar dapat pula menguasai pembelajaran dengan berkesan. Maka wujudlah pelajar yang cemerlang dan berdisiplin.
Malah Cikgu Uthaya juga boleh menggunakan system ganjaran dan dendaan bagi mengubah tingkah laku para pelajar yang nakal agar mereka lebih patuh kepada peraturan yang telah ditetapkan. System ganjaran mampu menimbulkan minat murid-murid untuk menunjukkan tingkah laku yang baik apabila mereka menerima ganjaran daripada guru diatas sikap baik yang ditunjukkan. System ganjaran ini juga mampu merapatkan hubungan antara murid dengan guru . hal ini kerana kanak-kanak sememangnya suka diberi hadiah atau barang-barang samaada makanan,pakaian,mainan dan sebagainya.Manakala system dendaan pula mampu meninbulkan rasa takut dalam diri para pelajar untuk membuat salah laku di sekolah
Bagi mengubah tingkah laku para pelajar,cikgu utahaya perlu menjelaskan akibat negatif tidak mematuhi peraturan bilik darjah. Seorang pelajar kadang kala melakukan kesalahan tanpa mengetahui kesan tindakan tersebut kepada diri sendiri dan juga kepada orang lain. Namun begitu, sebagai seorang guru yang baik dan prihatin, cikgu Uthaya perlu menjelaskan akibat buruk daripada kesalahan tingkah laku yang telah dilakukan oelh mereka. Langkah ini bertujuan untuk memberi nasihat dan menimbulkan kesedaran mereka terhadap kesalahan yang dilakukan tanpa memberi sebarang hukuman fizikal kepada mereka. Selain itu, langkah ini merupakan teknik yang betul dan berkesan bagi menegur para pelajar yang melakukan kesalahan agar mereka tidak memberontak sekiranya menggunakan kekerasan untuk menegur kesilapan mereka. Contohnya,seorang pelajar yang terpaksa menjaga bapanya yang terlantar sakit di hospital dirotan kerana tidak menyiapkan kerja rumah  tanpa ditanyakan alasannya oleh guru kepada pelajar tersebut akan menyebabkan lama kelamaan pelajar akan menjadi degil dan “liar” kerana tertekan dengan sikap guru yang cepat menghukum tanpa usul periksa.
Bagi mengubah tingkah laku para pelajar kearah yang lebih baik, Cikgu Utahaya perlu menentukan akibat positif untuk tingkah laku yang sesuai. Sebagai contoh, guru memuji murid yang rajin menyiapkan kerja sekolah dengan memberitahu bahawa sikpanya itu mampu menjadikan dia sebagai seorang pelajar yang bijak dan cemerlang. Dan mungkin suatu hari nanti dia mampu melanjutkan pelajaran ke university dan seterusnya mendapat pekerjaan yang hebat seterusnya mampumemiliki rumah dan kereta yang besar. Langkah ini mampu meningkatkan semangat pelajar untuk terus melakukan  kebaikan dan rajin dalam menuntut ilmu.


TAJUK 3 : PERANAN GURU DALAM PENGURUSAN BILIK DARJAH (KEPENTINGAN MEMBINA HUBUNGAN GURU-MURID)



BY  :  KUMPULAN D

 SOALAN :
Membina hubungan guru-murid merupakan salah satu peranan guru dalam pengurusan bilik darjah. Apakah yang anda faham tentang konsep membina hubungan guru-murid beserta kepentingannya?

JAWAPAN :

Membina hubungan guru-murid merupakan satu aspek penting untuk membina persekitaran pembelajaran yang kondusif dalam pengurusan bilik darjah. Hal ini kerana apabila hubungan guru murid baik, maka semua urursan akan berjalan dengan lebih lancar. Murid akan mudah bertolak ansur dengan guru dan mengikut arahan guru sebagaimana mudahnya guru bertolak ansur dengan murid. Contohnya, murid yang mempunyai hubungan guru-murid yang baik akan selalu membuat kerja rumah yang diberi dan seandainya murid tidak menyiapkan tugasan, guru terus bertanya secara peribadi tanpa terlebih dahulu menghukum. Namun, membina hubungan guru-murid tidak mudah kerana ada peraturan tersendiri namun perlu hormat dan mesra. Maksudnya, dalam membina hubungan guru-murid, kedua-dua pihak masih ada batas untuk diikutkan. Contohnya, guru lelaki tidak boleh memegang murid perempuan dan sebaliknya. Masih perlu ada nilai hormat dan tidak berlebihan dalam bermesra. Kesimpulannya, hubungan guru-murid yang positif menentukan pencapaian persekitaran pembelajaran yang kondusif.

Kepentingan membina hubungan guru-murid ialah pengajaran dapat dijalankan dengan sempurna. Guru yang membina hubungan yang baik dengan murid-muridnya dapat melicinkan perjalanan pengajaran dan pembelajaran. Murid akan lebih berminat dengan pembelajaran dan berusaha untuk memberikan kerjasama sepenuhnya membolehkan pengajaran dapat dilakukan dengan sempurna. Apabila aktiviti pengajaran dan pembelajaran berjalan lancar, guru akan menjadi semakin bermotivasi untuk mengajar dan murid juga bersemangat untuk ke sekolah setiap hari. Contohnya, guru yang sering berleter dan marah-marah tanpa sebab akan menyebabkan murid tidak menumpukan perhatian kepada pengajaran guru dan akan cuba menunjukkan perasaan tidak puas hati dengan berbual-bual di belakang kelas seterusnya pengajaran tidak dapat dilakukan dengan sempurna.

            Kepentingan kedua ialah memupuk tahap disiplin pelajar. Apabila hubungan guru-murid baik, murid akan takut untuk melanggar disiplin, mungkin kerana segan dan malu dengan gurunya. Selain itu, hubungan ini akan mewujudkan satu suasana mesra antara guru dan murid untuk meluahkan perasaan dan menjadi tempat meminta nasihat. Seterusnya, dapat mengurangkan masalah disiplin kerana kebiasaannya, masalah disiplin berlaku disebabkan oleh tekanan atau masalah yang terpendam dalam diri murid. Contohnya, masalah keluarga yang menyebabkan murid membuat masalah didiplin untuk menarik perhatian orang lain.

            Ketiga, murid-murid rela mematuhi arahan guru. Hubungan guru dengan murid juga dapat menjadikan murid patuh kepada guru tanpa sebarang paksaan. Guru-guru mengawal murid untuk menjalankan aktiviti pengajaran dengan lebih berkesan. Keberkesanan ini akan menaikkan imej guru. Guru akan lebih dihormati dan dipandang mulia. Imej ini akan memberikan kesan positif terhadap keyakinan kendiri guru.

            Keempat, bilik darjah akan menjadi alam belajar yang menarik. Hal ini kerana semua pihak bekerjasama untuk sesi pengajaran dan pembelajaran tanpa ada halangan. Aktiviti pengajaran akan menjadi lebih seronok dan efektif sekiranya mendapat kerjasama yang padu sebegini. Penglibatan murid yang aktif ini mendorong guru menyediakan aktiviti-aktiviti yang lebih praktik dan berkesan menjadikan pembelajaran lebih menarik.

Hubungan guru dan murid turut mempengaruhi peningkatkan pencapaian akademik murid. Guru yang dapat berhubungan baik dengan murid-muridnya akan dapat mengenal pasti kebolehan murid-muridnya. Hubungan yang mesra dan kondusif membolehkan guru membantu murid memperbaiki prestasi akademik mereka. Contohnya, jika seorang murid mempunyai masalah dalam memahami sesuatu pelajaran, murid tersebut tidak akan takut dan segan untuk berjumpa guru untuk mendapatkan penjelasan. Justeru, murid tersebut akan dapat meningkatkan pencapaian akademiknya dengan adanya hubungan guru-murid yang baik.

            Kesimpulannya, hubungan guru-murid sangat penting dan antara kemahiran yang mesti dimiliki oleh guru terutama pada permulaan memasuki kelas yang baru. Persepsi pertama murid kepada guru mempengaruhi hubungan guru-murid untuk hari-hari seterusnya.