Wednesday, 12 March 2014

TAJUK 3 : AMALAN BUDAYA PENYAYANG


KUMPULAN E :

Soalan:
   Guru Besar telah mengarahkan Cikgu Ali untuk mewujudkan amalan budaya penyayang. Apakah langkah-langkah untuk mewujudkan persekitaran penyayang untuk murid Tahun 1?

Jawapan:
       Menurut Larrivee (2005), amalan budaya adalah mengutamakan kebajikan ahli-ahli; bersikap dan berkomunikasi secara terbuka antara satu sama lain; ahli-ahli saling hormat-menghormati,mengambil berat, ingat-mengingati dan berkongsi perasaan secara jujur; berkongsi idea, pandangan dan emosi tanpa prejudis dan diskriminasi; menerima ahli-ahli lain tanpa syarat dan mengakui setiap ahli-ahli mempunyai kekuatan dan kelemahan masing-masing.
            Langkah yang pertama untuk mewujudkan persekitaran penyayang untuk murid tahun satu ialah dengan mengamalkan nilai hormat. Guru haruslah menerima murid-murid sebagai dirinya dan berinteraksi dengan murid-murid. Selain itu, guru juga haruslah menghargai dan mengenal pasti perbezaan individu. Semua murid-murid berbeza dari segi kognitif, jasmani, rohani dan emosi. Guru haruslah memerima dan menghargai setiap murid supaya mereka berasa dihargai. Guru juga harus tahu perbezaan antara hormat dengan rasa takut. Guru seharusnya memberikan perhatian dan mengambil berat tentang murid-murid mereka supaya mereka hormat dan saying akan guru mereka. ini secara tidak langsung akan mendapat kepercayaan daripada murid-murid.
            Langkah kedua adalah dengan mengamalkan autentik untuk mewujudkan persekitaran penyayang. Dari aspek ini, guru seharusnya menjadi diri sendiri. Guru haruslah mengajar murid supaya memberi maklum balas dengan jujur. Selain itu, guru juga haruslah tidak takut untuk mengaku salah jika terdapat kesalahan pada diri sendiri. Secara tidak langsung guru menjadi teladan untuk murid-murid menerapkan nilai tersebut dalam diri mereka. Guru juga harus mengajar murid-murid supaya bertanggungjawab atas tingkah laku sendiri. Kesalahan yang dibuat haruslah ditanggung oleh mereka sendiri, dengan ini baru murid-murid akan memupuk nilai bertanggungjawab dalam diri mereka. Bukan itu sahaja, murid-murid juga dinasihati supaya menyedari emosi diri dan orang lain serta mengawalnya. Dengan ini, barulah murid-murid dapat berkomunikasi secara baik dengan rakan-rakan mereka.
            Selain itu, guru juga haruslah mengamalkan keprihatinan untuk mewujudkan persekitaran yang penyayang. Guru haruslah peka terhadap kehendak dan emosi orang lain. Guru haruslah bertimbang rasa dan mengambil berat tentang murid-murid agar mereka berasa dihargai dan melahirkan perasaan cinta akan sekolah. Guru juga boleh menjalankan aktiviti seperti berkongsi masalah antara guru dan murid agar semua murid dapat belajar dalam keadaan yang gembira tanpa sebarang ketidakpuashatian. Semua murid haruslah bekerjasama bagi mewujudkan persekitaran yang penyayang. Contohnya, murid-murid boleh saling tolong-menolong apabila rakan-rakan mereka menghadapi masalah tanpa mengira kaum, agama dan bangsa.
            Tambahan pula, guru juga haruslah mengamalkan integriti emosi. Guru haruslah berbincang secara langsung tentang persepsi murid pada setiap masa. Guru haruslah menegur kelakuan murid jika mereka menunjukkan kelakuan yang kurang menyenangkan. Contohnya, apabila murid-murid meninggalkan tempat duduk untuk mengganggu rakan-rakan lain, guru boleh memberi nasihat atau amaran kepada mereka. selain itu, guru juga boleh mendapat akauntabiliti murid. Guru yang mengamalkan integriti emosi juga perlu proaktif semasa berdepan dengan masalah serta tingkah laku murid yang tidak menyenangkan.   








No comments:

Post a Comment