Wednesday 26 March 2014

TAJUK 6 : PENGURUSAN MASALAH DISIPLIN BILIK DARJAH (PERANAN DAN TINDAKAN GURU)



KUMPULAN D

 SOALAN : 
 
Cikgu Rosli merupakan guru kelas bagi pelajar tahun 5. Beliau menghadapi masalah dalam menangani pelajar yang ponteng kelas. Nyatakan peranan beliau sebagai seorang guru kelas serta tindakan efektif yang perlu diambil dalam menangani masalah ini supaya tidak berlarutan.

JAWAPAN : 

Profesion sebagai seorang guru tidak akan terkecuali daripada masalah disiplin dalam bilik darjah. Masalah disiplin pelajar merupakan masalah terbesar di sekolah yang perlu ditangani oleh para guru. Justeru itu, guru memainkan peranan yang sangat penting dalam menguruskan masalah disiplin dalam bilik darjah. 

            Guru mestilah menerima setiap pelajar tanpa meletakkan sebarang syarat. Guru harus bersikap terbuka dan memandang positif pada semua pelajar. Setiap pelajar itu dikurniakan keunikan dan keistimewaan masing-masing. Dengan itu, guru harus beranggapan bahawa semua pelajar mampu berubah bagi mencapai kemajuan. Pelajar harud diberi peluang dan celik akal yang sewajarnya. Guru harus menyemai sikap tak pilih kasih. Harus sentiasa bersedia mendengar dan menerima pandangan semua pelajar dengan hormat. Sikap guru berhubung dengan pelajar secara lebih tidak formal perlu ditekankan sebagai lambing guru menerima pelajar secara terbuka. Guru harus memberi peluang kepada pelajar untuk bercakap. Guru seharusnya mengelakkan diri daripada membuat penilaian pada pelajar secara melulu.

            Seterusnya, guru mewujudkan hubungan yang mesra. Perhubungan mesra di antara guru dan pelajar sangat penting bagi menjana proses pengawalan emosi dalam kalangan pelajar. Raut muka dan reaksi guru menjadi perkara utama untuk menampakkan kemesraan kerana muka guru yang ceria lebih menggalakkan penglibatan pelajarnya. Guru mestilah menunjukkan sikap mengambil berat dan memberi perhatian kepada semua pelajarnya. Untuk menimbulkan kemesraan, guru harus mewujudkan unsur jenaka dan bergurau supaya situasi pembelajaran lebih menyeronokkan. Jika tidak wujud hubungan mesra ini, pelajar tidak akan berani untuk memberi respon atau menyatakan perasaan sama ada meluahkan masalahnya atau menyatakan idea. 

            Selain itu, guru harus mempunyai sikap empati iaitu memahami diri orang lain seperti merasa, mengalami dan menyelami situasi tersebut. Sehubungan dengan itu, perlunya daya kemahiran mendengar. Guru perlu mengambil berat perkara yang dicerita dan peka dengan gaya pelajar meluahkannya. Untuk itu, unsur kepercayaan antara guru dan pelajar sangat penting. Hal ini kerana memudahkan guru untuk meneroka maklumat peribadi pelajar. Juga untuk mengurangkan rasa cemas dan perasaan malu dalam diri pelajar. 

            Guru juga harus mencari alternatif untuk pelajar. Maksudnya, guru membantu pelajar mencari pilihan-pilihan jawapan kepada permasalahan yang berlaku. Pelajar perlu mengenalpasti alternatif yang sesuai dan bertindak pada pilihan mereka itu. Dalam pada itu, guru perlu sedar setiap pelajar ada pengalaman yang berbagai yang dapat bantu mereka menyelesaikan permasalahan yang dihadapi. Guru perlu mahir membuat tafsiran dan bantu pelajar banyakkan pilihan secara lebih berkesan. Guru juga perlu ada pengetahuan yang luas supaya dapat memberi pilihan pada permasalahan pelajar. 

            Seterusnya, guru sebagai model dan agen perubahan. Peniruan adalah cara belajar yang paling berkesan. Guru lazimnya menjadi fokus untuk diterima oleh semua pelajarnya. Guru perlu ada kemahiran menjadi model kepada pelajar. Tindak tanduk guru yang baik boleh dicontohi pelajar seperti pengurusan emosi, cara berkomunikasi dan sifat kemesraan. Guru harus timbulkan rasa kagum dalam diri pelajar supaya pelajar boleh meniru nilai-nilai yang positif. Lazimnya, pelajar beranggapan guru adalah orang yang bijak dalam segala hal. Contohnya, cara menyelesaikan masalah serta proses merancang dan menguruskan urusan. 

            Terdapat beberapa tindakan yang boleh diaplikasikan oleh guru dalam menangani masalah disiplin pelajar. Guru harus memberi amaran atau nasihat kepada pelajar yang melanggar disiplin sekolah. Jika kes melanggar disiplin adalah ringan, guru boleh menghukum pelajar dengan menyuruhnya berdiri atau mengasingkannya daripada rakan-rakan lain. Andai melibatkan kes berat, guru hendaklah menghantar pelajar berkenaan kepada guru besar untuk diberi nasihat atau hukuman yang sewajarnya. Guru boleh mengambil panduan daripada hierarki pembetulan tindakan Cater. Rujuk pada rajah di bawah.

            Dalam menangani masalah disiplin pelajar, guru harus mengikut tatacara yang betul untuk memastikan tindakan yang diambil rasional dengan masalah yang berlaku. Sekiranya masalah disiplin berlaku, guru hendaklah mengkaji masalah tersebut secara objektif dan janganlah mengambil tindakan terburu-buru. Tambahan lagi, elakkan diri daripada nafsu marah dan wujudkan suasana tenang semasa mencari punca masalah yang timbul. Seterusnya, berikan peluang kepada pelajar membuat penjelasan dan cuba memahami perasaan pelajar yang melanggar disiplin itu. Selepas mambuat kajian. Jika pelajar didapati bersalah, guru hendaklah memberi nasihat supaya pelajar itu sedar akan kesalahannya dan mengubah kelakuannya. Jika pelajar mengulang kembali kesalahannya, guru boleh merujuk kes disiplin itu kepada guru disiplin atau guru bimbingan dan kaunseling untuk mengambil tindakan yang sewajarnya. Jika masalah disiplin yang berlaku berkaitan kes-kes berat, guru hendaklah melaporkannya kepada guru besar dengan serta-merta.

TAJUK 3 : FAKTOR MEMPENGARUHI HUBUNGAN GURU-MURID



KUMPULAN D


SOALAN :

Cikgu Ezham merupakan seorang guru baru yang baru tiga bulan berkhidmat sebgai guru di sekolah rendah. Melalui pengamatannya sepanjang tiga bulan itu, dia mendapati murid-muridnya seakan-akan tidak senang dengan kehadirannya dan hubungan antara beliau dan murid-muridnya tidak mampu mewujudkan suasana positif untuk proses pengajaran dan pembelajaran. Pada pandangan anda, apakah kemungkinan faktor-faktor yang menyebabkan berlakunya situasi sedemikian?

JAWAPAN:

Berdasarka situasi di atas, terdapat pelbagai faktor yang menyebabkan terjadinya situasi sebegini. Pertamanya ialah perasaan  empati guru yang kurang di mana guru tidak dapat sama-sama menyelami perasaan murid . Empati murujuk kepada keupayaan guru untuk memahami perasaan murid-muridnya seolah-olah guru berada dalam keadaan itu. Keupayaan untuk berempati bergantung kepada keupayaan guru mengenalpasti dan merasakan perasaannya sendiri. Tidak semua murid datang ke sekolah dengan keadaan gembira. Tekanan, gangguan serta peristiwa tertentu boleh mempengaruhi perasaan murid yang akan dibawa bersama ke sekolah lalu menjejaskan proses pembelajaran. Empati juga melibatkan pendengaran yang baik atau lebih dikenali sebagai pendengaran reflektif. Ia merupakan satu bentuk kemahiran komunikasi yang melibatkan pendengaran penggunaan perkataan-perkatan melibatkan perasaan yang menyokong bahasa badan. Dengan mengumpulkan lebih banyak maklumat tentang perasaan murid, guru akan lebih mengenali dan memahami mereka. Murid pula pada masa yang sama merasakan diri mereka difahami dan dihargai. Hal ini dapat meningkatkan harga diri murid ketika berada dalam kecelaruan perasaan.

Keduanya ialah faktor ketulenan dan kongruen  iaitu guru bersifat sebenar, jujur dan tidak bermaksud jahat dalam perhubungan interpersonal. Guru perlu menjadi dirinya yang sebenar dan tidak berpura-pura atau cuba menjadi seperti orang lain yang lebih berkuasa. Seperti murid, guru juga mempunyai kelemahan-kelemahan diri. Akuilah kelemahan-kelemahan diri walau pun kelemahan-kelemahan tersebut tidak dikongsikan dengan murid. Keadaan ini akan merapatkan jurang perbezaan antara guru dan murid. Murid pula akan merasakan dirinya selamat, diterima, diberikan perhatian dan dipercayai. 

Ketiga, faktor kehadiran guru itu sendiri. Guru perlu menghadirkan diri setiap kali ia perlu berada di dalam bilik darjah atau ketika menjalankan aktiviti pembelajaran luar bilik darjah bersama murid. Guru juga perlu hadir semasa menjalankan kegiatan kokurikulum atau semasa aktiviti lain yang diperlukan bersama seperti jamuan kelas, kelas tutorial atau kelas-kelas tambahan yang diadakan. Ketiadaan guru menggambarkan bahawa guru tidak prihatin serta tidak mengambil berat tentang perkembangan dan pertumbuhan murid-muridnya. Sekiranya guru tidak dapat menghadirkan diri, sebab dan puncanya perlu diperjelaskan kepada murid. Elakkan daripada membuatkan murid tertanya-tanya sedangkan mereka telah pun hadir. Kehadiran guru atau ketidak hadiran dengan sebab yang boleh diterima sebenarnya akan memperkukuhkan kepercayaan murid bahawa guru sememangnya menyayangi dan mengambil berat tentang mereka.

Keempat ialah penerimaan tanpa syarat. Penerimaan tanpa syarat merujuk kepada sikap menerima dengan mesra serta menghormati guru dan murid sebagai individu dan ahli kelompok dalam bilik darjah secara ikhlas. Guru dan murid adalah manusia yang mungkin sebelumnya pernah tersilap dan berbuat salah. Namun begitu, secara fitrah, manusia sentiasa mempunyai ruang untuk memperbaiki diri dan menjadi lebih baik dan positif daripada sebelumnya. Apabila guru dan murid sama-sama menjadi ahli komuniti bilik darjah, berbaik sangka tanpa membuat pertimbangan untuk menghukum berdasarkan peristiwa atau pengalaman lalu, mereka akan dapat mewujudkan hubungan interpersonal yang baik. Guru yang dapat menghormati murid-muridnya akan membuatkan murid-murid menghormati guru seterusnya akan mula menghargai ruang, harta dan masa ahli komuniti bilik darjah, sekolah dan masyarakat sekolah amnya.

Faktor kelima ialah kesegeraan guru iaitu tingkahlaku lisan dan bukan lisan yang mendedahkan kesediaan guru untuk mendekati serta didekati oleh murid. Penggunaan tingkahlaku kesegeraan guru dapat meningkatkan kedekatan hubungan (closeness) dan menghasilkan sikap positif dengan mengurangkan faktor jarak fizikal dan psikologikal antara dua pihak yang berkomunikasi. Guru yang menunjukkan tingkahlaku kesegeraan dapat mengurangkan jarak psikologikal dengan menghargai dan mengakui pandangan serta idea murid, menggunakan maklumbalas serta input daripada murid ke dalam pengajarannya, kesediaan untuk berkomunikasi dan kesediaan untuk melibatkan diri dalam bentuk interaksi bersemuka. Guru yang menggunakan kesegeraan lisan dan bukan lisan lebih bercirikan kemanusiaan (more human) dan boleh didekati oleh murid.

Faktor keenam ialah komunikasi guru-murid di mana ia amat penting untuk guru mengamalkan komunikasi yang jelas dan ringkas semasa berhubung dengan murid ketika menyampaikan pelajaran, peraturan dan ekspektasi. Apabila guru berkomunikasi secara jelas, murid akan memperolehi panduan ke arah kejayaan. Komunikasi juga melibatkan proses mendengar dengan baik antara guru dan murid.

            Justeru, banyak faktor yang menyebabkan Cikgu Ezham kurang disenangi oleh murid-muridnya meskipun telah tiga bulan bersama. Faktor-faktor ini mungkin tidak disedari Cikgu Ezham memandangkan beliau mungkin tidak mengetahui dan mengenali situasi setiap muridnya yang menyebabkan hubungan guru-murid terjejas.

Wednesday 19 March 2014

TAJUK 6: HALANGAN PENGURUSAN MASALAH DISIPLIN

KUMPULAN E

SOALAN :

Ali pada mulanya seorang murid yang rajin. Namun, dia berubah menjadi seorang murid yang nakal dan melakukan perkara negatif. Apakah peranan dan tindakan guru untuk menangani masalah disiplin bilik darjah?

JAWAPAN :

Guru boleh menggunakan kaedah kaunseling berdasarkan Teori Realiti dengan Teori Kawalan yang merangkumi 5 peringkat. Teori kawalan iaitu bermaksud mengandaikan tingkah laku manusia sebagai usaha untuk mengawal dunia kita sebagai sebahagiannya dengan tujuan memuaskan keperluan kita secara penuhnya.

Pada peringkat  pertama guru boleh membina hubungan guru dan murid secara kaunselor. Guru boleh menggunakan teknik penerimaan, kejujuran, keikhlasan dan mengelakkan kawalan di antara guru dengan Ali. Guru haruslah membina hubungan yang rapat supaya Ali tidak malu dan kekok untuk bercerita kepada guru sebagai contoh, guru membawa Ali untuk makan di kantin bersama dan sering bergurau dan mengambil hati Ali seperti seorang kawan namun haruslah tidak membuatkan Ali melanggar batasnya sebagai murid.

Seterusnya guru boleh melanjutkan tindakan ke Peringkat yang kedua. Pengajaran dengan kawalan iaitu di mana Ali akan diberi harapan bahawa dia akan dapat belajar membuat pilihan yang lebih berkesan dan dapat membantu kawalan hidup mengikut keperluannya. Sebagai contoh, apabila Ali membuat keputusan yang betul dan tepat, guru haruslah memebri penekanan yang positif supaya Ali sedar perbuatan dia adalah baik dan supaya dia akan mengulang perbuatan yang baik pada masa hadapan.
Tambahan pula, guru melanjutkan ke peringkat seterusnya iaitu Peringkat ketiga di mana. Penilaian tingkah laku menyeluruh. Hal ini dapat membantu guru dan Ali memahami apa yang Ali sedang buat dan membuktikan kepada Ali bahawa tingkah lakunya tidak akan membawa hasil yang diinginkan

Pada Peringkat keempat pula Perancangan dan perubahan tingkah laku menyeluruh iaitu Guru perlu mengenalpasti keperluan Ali yang benar-benar diharapkan untuk mengawal tingkah lakunya. Contohnya pemilihan keperluan ialah kasih sayang, kebebasan. Berdasarkan fokus keperluan yang dikenal pasti, Ali akan diajar mengubah tingkah laku dirinya menjadi lebih berkesan untukmemenuhi keperluan yang diinhinkannya.
Pada peringkat terakhir, iaitu Tindakan susulan di mana rancangan perubahan tingkah laku yang menyeluruh dilaksanakan oleh Ali diri sendiri. Tugas kaunselor (guru) hanya sebagai pembimbing apabila Ali menghadapi masalah.

Tajuk 8: Perancangan Pengurusan Bilik Darjah yang Berkesan

KUMPULAN E
 
Soalan:
Senaraikan ciri-ciri pengurusan bilik darjah yang berkesan untuk P&P.
 
Jawapan:
Ciri pertama pengurusan bilik darjah yang berkesan untuk P&P ialah suasana demokratik dalam bilik darjah. Interaksi dua hala perlu dijalankan antara murid dengan guru. Guru perlu melibatkan semua murid dalam proses P&P dengan menerima soalan atau pandangan murid.
 
Ciri kedua ialah guru perlu mengambil tanggungjawab sabagai pendidik dan fasilitator. Guru perlu sedar kebolehan dan minat murid. Selepas itu, penyediaan tugasan yang sesuai perlu direka dan diagihkan oleh guru kepada semua murid. Di sini, guru harus elakkan perbandingan pencapaian antara murid. Hal ini adalah untuk menstabilkan emosi murid dan memberi penghargaan kepada pencapaian semua murid.
 
Ciri ketiga ialah guru perlu menimbulkan persekitaran saling mempercayai dan saling menghormati. Guru harus menghormati dan mempercayai murid mempunyai kebolehan sendiri. Sekiranya terdapat murid yang kurang mahir dalam pembelajaran, guru memainkan peranan penting untuk memotivasikan murid tersebut dengan mengubah teknik mengajar yang lebih sesuai. Guru juga perlu bersikap adil dan menganggap bahawa setiap murid mempunyai hak individu.
 
Ciri keempat ialah jadikan bilik darjah sebagai tempat yang seronok dan selamat untuk kanak-kanak. Bagi bilik darjah, guru perlu pastikan kebersihan, keceriaan dan kekemasannya. Bahan atau peralatan yang bahaya perlu disimpan dalam tempat yang selamat. Sehubungan dengan itu, keselamatan murid dari segi emosi dan sosial juga perlu dijaga oleh guru agar mereka tidak berasa keselamatan diri terancam ataupun takut untuk hadir ke sekolah.
 
Ciri yang terakhir ialah pembelajaran berasaskan individu. Setiap murid adalah unik dan mempunyai kebolehan sendiri. Guru boleh memberikan murid untuk bersaing dengan diri sendiri untuk mendapat pencapaian yang lebih tinggi. Namun, pencapaian ini perlu ditetapkan dengan mengikut kebolehan setiap murid.
 

Tajuk 7: Hiperaktif (ADHD, ADD)

KUMPULAN E

Soalan:
 
Ahmad seorang guru yang baru bertugas di kelas 1 Anggur. Beliau mendapati beberapa orang pelajar mempunyai masalah hiperaktif. Beliau telah berbincang masalah ini dengan PK1 sekolah itu. Apakah nasihat PK1 yang boleh membantu Ahmad menangani masalah ini?
 
Jawapan:
 
            Yang pertama sekali, guru haruslah mempunyai pengetahuan tentang ADHD. ADHD(Attention Deficit Hyoeractivity Disorder) biasanya merangkumi 3 jenis. ADHD yang pertama ialah ADHD tanpa hiperaktif (Atlentin Deficit Disordier iaitu ADD yang merujuk kepada pesakit tidak berupaya memberi perhatian lama dan tidak dapat menyiapkan tugasan yang diberi. Yang kedua ialah ADHD dengan hiperaktif-impulsif dimana tandanya adalah tidak dapat duduk diam, sering tinggal tempat duduk, berkeliaran, seolah-olah digerakkan oleh enjin. Unsur Impulsif seperti memberi jawapan sebelum habis soalan, ganggu murid dan tidak sabar menunggu giliran. Yang ketiga ialah ADHD Kombinasi. Ia merangkumi kedua-dua ciri di atas.
 
            Selain itu, PK1 juga boleh memberi nasihat kepada guru untuk mencari faktor-faktor penyebab ADHD dalam kalangan murid untuk memahami murid-murid ADHD. Kebanyakan ADHD adalah disebabkan oleh genetik. Kemungkinan besar ayah atau ibu mangsa adalah ADHD dan ini secara langsung telah diwarisi oleh anak-anak mereka. Selain itu, persekitaran keluarga juga merupakan salah satu penyebab. Ketidakstabilan emosi akibat konflik perkahwinan ibu bapa, perceraian ibu bapa akan menyebabkan ADHD berlaku dalam kalangan kanak-kanak. Jangkaan ibu bapa yang terlalu tinggi serta jangkaan guru yang tidak setimpal dengan kebolehan secara tidak langsung memberikan stress kepada kanak-kanak. ini menyebabkan mereka sukar untuk memberikan perhatian yang penuh dalam kelas. Dan yang terakhir sekali iaitu cara memberi arahan. Arahan yang diberikan kepada kanak-kanak tidak jelas, mengelirukan, mendadak dan di luar keupayaan murid yang berkenaan.
 
            Di samping itu, PK1 juga memberi nasihat kepada guru untuk melakukan Modifikasi Environmental. Guru seharusnya mengatur tempat duduk murid ADHD dekat dengan guru supaya guru dapat mengawasi murid tersebut. Guru juga boleh menghadkan ruangan terbuka. Contohnya, guru menghadkan ruang aktiviti murid-murid supaya mereka tidak berlari-lari dalam kelas. Benarkan murid ADHD bergerak di kawasan tertentu sahaja. Tambahan pula, guru boleh kurangkan ransangan yang boleh menarik Hiperaktif. Contohnya, menjalankan aktiviti di luar kawasan sekolah yang membolehkan mereka melakukan perbuatan atau perkara sesuka hati.
 
            Bukan itu sahaja, guru juga boleh memodifikasi behavioral murid-murid ADHD. Guru haruslah memberikan arahan dengan jelas dan tepat. Kurangkan kerja tugasan, dan pecahkan kerja kepada unit kecil. Guru juga dinasihati supaya jangan beri kerja berulang-ulang. Guru haruslah menyediakan kerja tambahan selepas kerja selesai. Dan seterusnya, guru boleh memberikan peneguhan positif dan negatif. Contohnya, memberi pujian atau hadiah apabila mereka melakukan perbuatan yang diingini dan memberikan hukuman sekiranya mereka melanggar peraturan sekolah. Selain itu, guru juga boleh memberikan latihan sosial kepada murid-murid ADHD. Guru boleh menjalankan aktiviti dengan membahagikan murid-murid dalam satu kumpulan untuk meyelesaikan sesuatu tugasan dengan mengamalkan kerjasama. 
 
 
 
 
 
 
 
 
 
 
 
 

Wednesday 12 March 2014

TAJUK 3 : DINAMIKA BILIK DARJAH



KUMPULAN E  

SOALAN: 

Fatimah seorang murid prasekolah yang baru mendaftar 2 bulan di prasekolah. Namun demikian, dia tidak mahu melibatkan diri dalam pembelajaran bersama kawan lain kerana kurang selesa dengan persekitaran baru. Apakah tindakan guru prasekolah tersebut untuk menarik perhatian Fatimah dalam aktiviti P&P?

 JAWAPAN: 
 
Definisi untuk dinamika bilik darjah ialah kuasa yang menyebabkan pergerakan, manakala maksud dinamika kumpulan ialah kuasa yang terdapat dalam kumpulan yang boleh mendorong ahli kumpulan untuk melakukan sesuatu perubahan.

Cara yang pertama yang boleh guru ambil untuk menangani masalah Fatimah ialah guru haruslah mengenal pasti bentuk dinamika kumpulan dalam bilik darjahnya. Guru perlu bijak mengagihkan aktiviti dan peraturan bilik darjah yang melibatkan semua murid. Faktor yang mempengaruhi pembentukan dinamika kumpulan, seperti jantina, bangsa, status sosioekonomi, pencapaian akademik, personaliti dan gaya pembelajaran harus dititikberatkan oleh guru. Pembentukan dinamika kumpulan yang sesuai akan menyenangkan hati Fatimah.

Cara yang kedua ialah guru harus memberi perhatian yang lebih kepada Fatimah. Fatimah yang diambil berat oleh guru tidak akan berasa dirinya tersingkir dalam persekitaran itu. Guru perlu membimbing murid lain cuba menerima Fatimah serta membantunya menyesuaikan diri di dalam bilik darjah.

Selain itu, guru boleh menggunakan kuasa penularan supaya tingkah laku yang diingini dijadikan model kepada Fatimah. Guru perlu bijak menggunakan pengaruh murid yang berupaya mempengaruhi/ memimpin Fatimah.Murid berkenaan akan menjadi pembantu guru untuk menggalakkan Fatimah melibatkan diri dalam pelbagai akiviti. Hal ini dapat membantu Fatimah melibatkan diri dalam persekitaran bilik darjah itu.

Sehubungan dengan itu, guru boleh membimbing kumpulan membentuk ciri-ciri yang diinginkan dan membawa kebaikan kepada ahli. Guru boleh mengagihkan Fatimah dalam kumpulan yang sesuai. Di situ, guru perlu bimbing dan bincang dengan kumpulan Fatimah untuk menerapkan ciri-ciri yang boleh membawa peningkatan diri Fatimah. Perkongsian masalah Fatimah dalam kumpulan dapat membimbingnya ke arah penyelesaian masalah yang berkesan.

Cara terakhir ialah guru bertindak sebagai ketua kumpulan dinamika bilik darjahnya. Guru harus menjadi model yang boleh diikuti oleh Fatimah. Guru juga berkuasa untuk bertindak mengerakkan Fatimah menyertai aktiviti kumpulan serta mempengaruhi Fatimah ke arah tingkah laku yang diinginkan.