Wednesday, 19 February 2014

TAJUK 3 : PERANAN GURU DALAM PENGURUSAN BILIK DARJAH (KEPENTINGAN MEMBINA HUBUNGAN GURU-MURID)



BY  :  KUMPULAN D

 SOALAN :
Membina hubungan guru-murid merupakan salah satu peranan guru dalam pengurusan bilik darjah. Apakah yang anda faham tentang konsep membina hubungan guru-murid beserta kepentingannya?

JAWAPAN :

Membina hubungan guru-murid merupakan satu aspek penting untuk membina persekitaran pembelajaran yang kondusif dalam pengurusan bilik darjah. Hal ini kerana apabila hubungan guru murid baik, maka semua urursan akan berjalan dengan lebih lancar. Murid akan mudah bertolak ansur dengan guru dan mengikut arahan guru sebagaimana mudahnya guru bertolak ansur dengan murid. Contohnya, murid yang mempunyai hubungan guru-murid yang baik akan selalu membuat kerja rumah yang diberi dan seandainya murid tidak menyiapkan tugasan, guru terus bertanya secara peribadi tanpa terlebih dahulu menghukum. Namun, membina hubungan guru-murid tidak mudah kerana ada peraturan tersendiri namun perlu hormat dan mesra. Maksudnya, dalam membina hubungan guru-murid, kedua-dua pihak masih ada batas untuk diikutkan. Contohnya, guru lelaki tidak boleh memegang murid perempuan dan sebaliknya. Masih perlu ada nilai hormat dan tidak berlebihan dalam bermesra. Kesimpulannya, hubungan guru-murid yang positif menentukan pencapaian persekitaran pembelajaran yang kondusif.

Kepentingan membina hubungan guru-murid ialah pengajaran dapat dijalankan dengan sempurna. Guru yang membina hubungan yang baik dengan murid-muridnya dapat melicinkan perjalanan pengajaran dan pembelajaran. Murid akan lebih berminat dengan pembelajaran dan berusaha untuk memberikan kerjasama sepenuhnya membolehkan pengajaran dapat dilakukan dengan sempurna. Apabila aktiviti pengajaran dan pembelajaran berjalan lancar, guru akan menjadi semakin bermotivasi untuk mengajar dan murid juga bersemangat untuk ke sekolah setiap hari. Contohnya, guru yang sering berleter dan marah-marah tanpa sebab akan menyebabkan murid tidak menumpukan perhatian kepada pengajaran guru dan akan cuba menunjukkan perasaan tidak puas hati dengan berbual-bual di belakang kelas seterusnya pengajaran tidak dapat dilakukan dengan sempurna.

            Kepentingan kedua ialah memupuk tahap disiplin pelajar. Apabila hubungan guru-murid baik, murid akan takut untuk melanggar disiplin, mungkin kerana segan dan malu dengan gurunya. Selain itu, hubungan ini akan mewujudkan satu suasana mesra antara guru dan murid untuk meluahkan perasaan dan menjadi tempat meminta nasihat. Seterusnya, dapat mengurangkan masalah disiplin kerana kebiasaannya, masalah disiplin berlaku disebabkan oleh tekanan atau masalah yang terpendam dalam diri murid. Contohnya, masalah keluarga yang menyebabkan murid membuat masalah didiplin untuk menarik perhatian orang lain.

            Ketiga, murid-murid rela mematuhi arahan guru. Hubungan guru dengan murid juga dapat menjadikan murid patuh kepada guru tanpa sebarang paksaan. Guru-guru mengawal murid untuk menjalankan aktiviti pengajaran dengan lebih berkesan. Keberkesanan ini akan menaikkan imej guru. Guru akan lebih dihormati dan dipandang mulia. Imej ini akan memberikan kesan positif terhadap keyakinan kendiri guru.

            Keempat, bilik darjah akan menjadi alam belajar yang menarik. Hal ini kerana semua pihak bekerjasama untuk sesi pengajaran dan pembelajaran tanpa ada halangan. Aktiviti pengajaran akan menjadi lebih seronok dan efektif sekiranya mendapat kerjasama yang padu sebegini. Penglibatan murid yang aktif ini mendorong guru menyediakan aktiviti-aktiviti yang lebih praktik dan berkesan menjadikan pembelajaran lebih menarik.

Hubungan guru dan murid turut mempengaruhi peningkatkan pencapaian akademik murid. Guru yang dapat berhubungan baik dengan murid-muridnya akan dapat mengenal pasti kebolehan murid-muridnya. Hubungan yang mesra dan kondusif membolehkan guru membantu murid memperbaiki prestasi akademik mereka. Contohnya, jika seorang murid mempunyai masalah dalam memahami sesuatu pelajaran, murid tersebut tidak akan takut dan segan untuk berjumpa guru untuk mendapatkan penjelasan. Justeru, murid tersebut akan dapat meningkatkan pencapaian akademiknya dengan adanya hubungan guru-murid yang baik.

            Kesimpulannya, hubungan guru-murid sangat penting dan antara kemahiran yang mesti dimiliki oleh guru terutama pada permulaan memasuki kelas yang baru. Persepsi pertama murid kepada guru mempengaruhi hubungan guru-murid untuk hari-hari seterusnya.



No comments:

Post a Comment