Saturday 5 April 2014

TAJUK 2 : PENGURUSAN PENTAKSIRAN DALAM BILIK DARJAH

KUMPULAN C

SOALAN :

Pendaftaran murid-murid Tahun 1 baru saja berlangsung. Sebagai seorang guru, Cikgu Azreen perlu menyediakan pelan pengurusan bilik darjah yang kondusif. Pelan tersebut perlu mengandungi komponen-komponen persekitaran fizikal, pencegahan dan sokongan.

Bincangkan.
 
JAWAPAN :

Pelan perancangan pengurusan bilik darjah mempunyai tiga langkah iaitu rancang, susundan praktis. Bagi langkah rancang, guru perlu menentukan corak pengajaran rutin,peraturan dan kata-kata aluan yang akan disampaikan kepada murid. Bagi langkah susun pula, setiap perancangan perlu disusun mengikut keutamaan dan kepentingan. Seterusnya, langkah praktis, apa sahaja perancangan yang dibuat memerlukan latihan dan keterangan. Guru mungkin perlu mengajar dan menunjukkan cara yang betul untuk melakukan sesuatu rutin. Atau guru harus memberikan penjelasan yang sistematik kepada murid tentang perkara yang perlu dilakukan.

Pelan tersebut perlu mengandungi komponen persekitaran fizikal iaitu melibatkan perancangan guru tentang ruang pembelajaran di dalam bilik darjah. Bagi langkah rancang, setelah guru mengenal pasti bilik darjah, guru perlu merancang susunan kerusi meja untuk menyokong pembelajaran dan aktiviti p&p dan cara guru menyusun kedudukan murid. Guru perlu memastikan pelan susunan fleksibel dan mengikut panduan yang telah diberikan. Guru perlu merancang ruang pembelajaran yang lain seperti carta pembelajaran, sudut membaca dan sudut pengayaan. Bagi setiap ruang, guru perlu memastikan cara untuk melibatkan murid supaya ruang dapat di manafaatkan sepenuhnya. Pastikan elemen-elemen seperti kebersihan, keselamatan, pengudaraan dan pencahayaan diambil kira. Bagi langkah susun, guru perlu menentukan perancangan mana yang perlu diberi tindakan segera. Contohnya,sistem pengudaraan dan pencahayaan yang tidak berfungsi mesti dibaiki sebelum murid memulakan proses persekolahan. Guru perlu menentukan perancangan mana yang ditetapkan oleh guru dan yang mana boleh dibincangkan dengan murid. Bagi langkah prakis, guru perlu memperkenalkan susunan bilik darjah dan susun atur kedudukan murid. Tunjukkan cara menyusun kerusi dan mengekalkan kebersihan kelas. Guru juga perlu menunjukkan cara penggunaan ruang pembelajaran dan cara menggunakan kemudahan di dalam bilik darjah. Guru boleh mendemonstrasikan cara yang betul untuk penjagaan ruang pembelajaran dengan betul.

Seterusnya ialah komponen pencegahan. Komponen pencegahan melibatkan prosedur pencegahan masalah daripada berlaku serta melibatkan rutin dan peraturan. Bagi langkah rancang, guru perlu membuat senarai rutin dan peraturan yang difikirkan terbaik untuk kelas. Tetapkan mana-mana rutin yang tetap dan yang boleh bertolak ansur. Guru perlu membayangkan senario bagaimana guru akan melatih murid menguasai rutin atau peraturan tersebut. Tuliskan langkah-langkah bagaimanakah untuk mengaplikasikan rutin tersebut. Bagi langkah susun, setiap rutin dan peraturan yang dirancang, disusun mengikut keutamaan. Tetapkan rutin dan peraturan yang menjadi kepentingan kepada murid dan guru. Bagi langkah praktis, guru perlu menjalankan latihan rutin yang telah dirancang kepada murid-murid mengikut langkah-langkah yang telah disusun. Tampal rutin dan peraturan yang telah dibincangkan. Tujuannya adalah untuk mengingat dan memotivasikan murid.

Akhir sekali ialah komponen sokongan. Komponen sokongan melibatkan sokongan yang diberikan oleh guru untuk memaksimumkan proses pembelajaran murid. Komponen ini melibatkan peneguhan yang diberi dan cara guru memotivasi murid. Bagi langkah rancang,guru perlu merancang cara-cara untuk mendidik murid menunjukkan tingkah laku yang sepatutnya. Fikirkan cara-cara untuk memotivasikan murid dengan bentuk peneguhan yang akan diberi. Guru boleh mulakan dengan motivasi ekstrinsik kemudian beransur kepada intrinsik. Guru perlu merancang cara-cara yang melibatkan murid dalam proses mengawal disiplin di dalam bilik darjah. Tentukan cara untuk berhubung dengan ibu bapa. Tetapkan situasi yang melibatkan ibu bapa. Bagi langkah susun, guru perlu menyusun corak sokongan mengikut susunn yang berkesan untuk dilaksanakan oleh guru. Bagi langkah praktis, guru perlu mulakan komponen sokongan seawal mungkin. Beritahu murid peneguhan yang akan diterima sekiranya mereka menunjukkan tingkah laku yang diingini. Pastikan strategi yang digunakan menyeluruh dan adil untuk semua murid.

 

 

No comments:

Post a Comment