Wednesday 19 February 2014

TAJUK 2 : PERANAN GURU DALAM PENGURUSAN BILIK DARJAH (PERSEKITARAN PEMBELAJARAN YANG KONDUSIF)



BY  :  KUMPULAN B


SOALAN :

Cikgu Ahmad bertugas di sebuah sekolah yang terdapat di bandar. Suatu hari beliau ditukarkan ke sebuah sekolah di kawasan pedalaman. Apabila tiba di sekolah tersebut, beliau melihat persekitaran sekolah tersebut tidak seperti sekolah lamanya dulu dimana bilik darjah yang tidak kondusif serta pengurusan sekolah yang tidak terurus yang menyebabkan prestasi sekolah ini agak rendah.

Berdasarkan aspek-aspek pengurusan bilik darjah, apakah tindakan yang patut diambil oleh cikgu Ahmad untuk meningkatkan prestasi sekolah ini setaraf dengan sekolah di bandar?

JAWAPAN :

Peranan guru dalam bilik darjah adalah berperanan sebagai pembimbing, penyelaras atau fasilitator. Menurut Jere Brophy,pengurusan bilik darjah yang berkesan ialah keupayaan guru untuk membentuk, memelihara dan memperbaharui bilik darjah bagi mewujudkan persekitaran yang efektif untuk pengajaran dan pembelajaran (P&P).
Persekitaran pembelajaran yang kondusif ialah tempat murid yang dapat melibatkan diri, mengambil bahagian dan menumpukan perhatian dalam pembelajaran. Persekitaran ini dapat berupaya untuk meransang minat dan semangat murid untuk terus belajar. Persekitaran pembelajaran yang kondusif merangkumi persekitaran fizikal, persekitaran psikososial dan peraturan dan rutin bilik darjah. Oleh hal yang demikian cikgu Ahmad harus memastikan bilik darjah sentiasa dalam keadaan yang kondusif supaya dapat menarik minat murid-murid dalam proses pengajaran dan pembelajaran.
Persekitaran fizikal terbahagi kepada beberapa perkara. Antaranya ialah sumber bahan pembelajaran, ruang atau sudut pembelajaran, ruang pada dinding, pencahayaan,pengudaraan dan perabot,kebersihan, susunan dan reka bentuk fizikal dalam bilik darjah, dan susunan kerusi meja murid yang fleksibel.
Aspek sumber bahan pembelajaran membantu murid-murid untuk mengakses sumber bahan pembelajaran dengan mudah. Hal ini juga memberi peluang kepada cikgu Ahmad untuk mengajar murid cara menyimpan bahan dengan tersusun. Ruang khas pula boleh disediakan oleh cikgu Ahmad untuk aktiviti pembelajaran seperti mendengar guru bercerita, membaca, melakukan aktiviti pemulihan atau pengayaan.  Cikgu Ahmad harus memastikan lampu dan kipas berfungsi dengan baik. Kebersihan kelas adalah tanggungjawab guru dan murid. Beliau juga harus memastikan tong sampah, penyapu sampah, pemadam papan hijau dan bulu ayam sentiasa ada dalam kelas dalam keadaan yang selesa digunakan.
Antara ciri-ciri psikososial yang baik ialah suasana yang mesra dan selesa, bebas daripada ancaman dan bahaya fizikal, perasaan murid diterima, sensitif dan peka kepada perbezaan individu, suasana yang meransang pembelajaran, mewujudkan komunikasi terbuka  dan menggalakkan perkongsian idea, menggalakkan pembelajaran koperatif dan memberi peluang yang sama kepada semua murid. Oleh hal yang demikian, cikgu Ahmad harus mengambil insiatif untuk mewujudkan suasana pembelajaran yang berkesan agar murid-murid berasa bosan.
Peraturan dan rutin bilik darjah bermaksud kenyataan yang memaklumkan tingkah laku yang boleh diterima di dalam bilik darjah. Peraturan juga merupakan satu bentuk peringatan dan autoriti kepada nilai moral murid-murid. Antara penekanan yang perlu diberi perhatian oleh cikgu Ahmad semasa membentuk peraturan ialah ayat peraturan mesti ringkas dan jelas, peraturan yang dibentuk mesti bermakna dan dipersetujui oleh murid dalam bilik darjah, mengehadkan bilangan peraturan supaya tidak mengelirukan murid-murid. Selain itu, peraturan yang dibina seharusnya adil dan bertujuan untuk membantu proses pembelajaran.
Cikgu Ahmad juga harus mengelakkan daripada menggunakan perkataan “jangan” serta guru harus memastikan peraturan bilik darjah mesti selaras dengan peraturan sekolah dan tidak bercanggah dengannya.

Contohnya, cikgu Ahmad harus mendidik serta melatih murid-murid supaya  menepati masa, menghormati guru dan rakan, menghormati harta benda orang lain, menjaga kebersihan bilik darjah, menumpukan perhatian sewaktu guru mengajar, mematuhi peraturan sekolah dan sebagainya.
Terdapat dua proses dalam pengurusan pentaksiran di dalam bilik darjah yang harus dilakukan oleh cikgu Ahmad. Proses pertamanya ialah proses pengukuran yang mana penggunaan alat untuk mengumpulkan nilai kuantitatif atau maklumat pencapaian pembelajaran seseorang murid. Manakala proses penilaian pula merupakan proses membuat keputusan berdasarkan hasil daripada pengukuran. Pentaksiran yang efisien dapat meningkatkan motivasi serta pembelajaran murid. Murid terdorong untuk memberikan perhatian dan berusaha lebih jika mereka tahu akan dinilai.Pentaksiran yang tidak efisien boleh melemahkan semangat murid untuk belajar, menimbulkan rasa tidak puas hati, kurang bermotivasi dan mungkin masalah tingkah laku.
Tambahan pula, cikgu Ahmad harus peka terhadap pengurusan sumber maklumat murid. Beliau harus meminta ibu bapa murid untuk mengisi borang maklumat murid  bertujuan untuk membantu pihak sekolah dalam pengurusan berkaitan hal ehwal murid.Sementelahan itu, cikgu Ahmad juga harus menyimpan data peribadi setiap murid. Antara data peribadi murid ialah seperti kad rekod persekolahan murid sekolah rendah 001R, buku rekod guru kelas, buku laporan dan buku kedatangan murid.
Kesimpulannya, cikgu Ahmad harus bersikap rajin dan peka terhadap setiap tindakan beliau agar dapat meningkatkan prestasi sekolah ini setaraf dengan sekolah di bandar.



No comments:

Post a Comment